Friday 12 April 2013

Coretan Dua Puluh Lima

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian terakhir daripada saya kali ini berkaitan dengan masalah hukum D-M. Bagaimana tercetus untuk berkongsi kisah ini bermula apabila saya terbaca kartun ini. Mari sama-sama kita lihat dan baca.


Bagaimana kisah ini? Pasti ada sesuatu yang kita perolehi atau mungkin ada di antara kita yang pernah menggunakan perkataan itu.

Baiklah hukum D-M ialah peraturan menyusun kata nama majmuk dan ayat yang mendahulukan unsur yang diterangkan (diringkaskan sebagai D) manakala dikemudiankan kata sifatnya yang menerangkan (diringkaskan sebagai M). Istilah hukum D-M diperkenalkan oleh Prof. S.t Takdir Alisjahbana dalam bukunya Tatabahasa Baru Melayu Indonesia.

Permasalahan penggunaan hukum D-M ini sering berlaku khususnya dalam kalangan orang yang bersikap keinggerisan, disebabkan oleh kekeliruan  antara susunan kata nama majmuk bahasa Melayu dengan kata nama majmuk bahasa Inggeris. Antara contoh yang sering berlaku :

KesalahanPadanan bahasa InggerisPembetulan
dalam lain perkataanin other wordsdengan kata-kata lain
lain-lain perkaraother mattersperkara-perkara lain
Minah RestoranMinah RestaurantRestoran Minah
Dunlop tayarDunlop tyretayar Dunlop
goreng pisangbanana fritterpisang goreng
cili soschilli saucesos cili

Tuntasnya, dalam kehidupan seharian kita sebenarnya kita sering melakukan kesilapan tanpa kita sedari walaupun kita berbangsa Melayu. Maka pemahaman sebegini perlu diberi pendedahan kepada semua agar perkara sekecil ini tidak terus berlaku. Mungkin daripada sekecil-kecil perkara ia boleh berubah kepada sebesar-besar perkara jika tidak dibendung sedari awal kerana jika dilihat keadaan sekarang kita mudah terikut sesuatu yang salah berbanding sesuatu yang betul.

"Bagaimana sekarang, pisang goreng atau goreng pisang?" ^_^

Coretan Dua Puluh Empat

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini saya ingin bercerita berkaitan pengalaman saya menjalankan pengajaran makro di sekolah. Saya bersama tiga orang rakan telah menjalankan pengajaran makro di sekolah dan kami telah diberikan layanan yang cukup istimewa dan baik daripada guru-guru termasuklah daripada GPK 1 dan pengetuanya. Kami diberikan kelas yang berasingan dan diberikan tempoh masa selama 70 minit untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Kami bermula pada pagi itu dengan memasuki kelas tingkatan 5 yang akan dikendalikan oleh rakan saya. Semuanya berjalan dengan lancar, begitu juga kelas yang saya kendalikan iaitu kelas tingkatan 3 pada masa berikutnya.

Dua masa sebelum balik kami terpaksa berpecah kerana dua daripada rakan saya akan ke kelas tingkatan 1 manakala saya dan seorang lagi rakan ke kelas tingkatan 5. Kelas itu dikendalikan oleh rakan saya. Pada awal sesi pengajaran dan pembelajaran tiada masalah yang timbul, cuma di pertengahan sesi semasa para pelajar diberikan tugasan terdapat beberapa patah perkataan yang keluar daripada mulut mereka yang sempat singgah ke cuping telinga saya.

"Bodohlah kau, cepatlah sikit."

"Eh bab* punya budak."

"Kau pehal?Nanti kita lepak belakang."

"Eh jahanamlah bodoh."

Saya yang sedang membuat rakaman untuk sesi pengajaran rakan saya itu hanya mampu melihat karenah mereka. Pada pandangan saya mungkin mereka bergurau dan telah terbiasa dengan kata-kata sebegitu. Walau bagaimanapun, apa yang menariknya lagi sewaktu hampir habis sesi pengajaran itu dua pelajar sibuk bertelagah diantara satu sama lain walhal sesi pengajaran hampir tamat tanpa menghiraukan guru yang berada di hadapan.

Tuntasnya, keadaan dan situasi pelajar sekarang amat berbeza dengan pelajar dahulu. Jika dahulu senakal-nakal pelajar pasti mereka menghormati guru sama ada di dalam kelas atau tidak. Namun dewasa kini, sifat hormat-menghormati itu semakin kelam dan timbul pula sifat berani mencuba serta berani tidak bertempat. Sampaikan ada yang berkelakuan kasar di dalam kelas semasa guru mengajar, ada yang mengeluarkan kata-kata kurang sopan malahan sekarang yang menular dalam laman muka buku atau 'facebook' adalah berkaitan kes berpasang-pasangan. Tanpa rasa segan-silu memuatnaik gambar bersama pasangan dengan berpakaian sekolah, berpegang-pegangan dan bermacam lagi. Peranan semua pihak amat penting dalam membasmi gejala ini daripada terus berleluasa dan kita perlu sedar jika perkara ini tidak dikekang maka apa akan terjadi pada generasi mendatang.

"Mencegah lebih baik daripada mengubati"

Wednesday 10 April 2013

Coretan Dua Puluh Tiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian ini saya ambil daripada apa yang saya lihat semasa berada di Puduraya petang tadi. Sesampainya di situ, saya terus naik ke tingkat dua untuk membeli tiket pulang ke Tg. Malim. Setelah membeli tiket, saya naik ke tingkat tiga untuk solat dan berehat sebentar sementara menunggu bas. Memandangkan bas yang ditunggu masih lewat, maka saya mengambil keputusan untuk mencari sedikit makanan. Setelah selesai, saya segera untuk ke tempat menunggu bas. Langkah saya terhenti di hadapan tangga apabila melihat seorang ulat tiket sedang memarahi seorang warga asing. Antara percakapan yang saya dengar adalah,

"Lu mana mau pergi?"

"Hei u panggil kawan-kawan u, tanya mereka mau pergi mana. Faham ke tak faham?"

"U ingat ini tempat u ke? Jangan berlagak sangatlah."

Apa yang menghairankan saya, warga asing tersebut seolah-olah tidak berbuat salah apa-apa kepada ulat tiket itu namun kenapa ulat tiket itu terlalu berkasar dengan dirinya. Seandainya ingin membantu atau menjual tiket sekalipun, wajarkah meninggikan suara sebegitu sehingga menarik perhatian orang lain. Ditambah lagi, tiba-tiba dua orang wanita warga asing lalu di situ dan ulat tiket tersebut bersuara lagi.

"Hei, nak pergi mana cantik? Nombor telefon kamu berapa?" Sambil tersenyum sendiri.

Dua wanita warga asing itu hanya berlalu pergi tanpa menghiraukan gangguan ulat tiket tersebut. Sungguh kesian saya melihat keadaan warga asing itu walaupun dia bukan dari bangsa saya dan kesian juga melihat sikap ulat tiket tersebut yang sungguh rendah etika dirinya.

Kesimpulan yang mampu saya nyatakan daripada situasi ini, sebagai rakyat Malaysia terutamanya berbangsa Melayu gunalah bahasa Melayu dengan betul dan tunjukkan nilai kesopanan tidak kira dengan siapa kita berhadapan. Jangan hanya tahu beradab dan beretika jika dengan orang atasan namun orang lain kita langgar sesuka hati. Keduanya seperti yang selalu saya nyatakan, diri dan tingkah laku kita kadang-kadang menggambarkan bangsa kita. Jangan hanya kesombongan diri kita, maka habis seluruh bangsa kita dianggap sombong dan tidak beradab oleh bangsa lain. Tidak rugi andai kita menghormati dan berbudi bahasa dengan orang lain tidak kira siapapun mereka.

Coretan Dua Puluh Dua

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini yang ingin saya kongsikan adalah berkaitan dengan sikap segelintir masyarakat kita pada hari ini. Perkara ini berlaku semasa saya sedang makan di sebuah restoran makanan segera yang terletak di ibu kota. Pada masa itu, saya sedang duduk sendirian sambil menikmati makanan yang dibeli. Tiba-tiba saya terdengar suara kekecohan di kaunter pembayaran. Saya lihat sepasang suami isteri sedang bercakap dengan penjaga kaunter tersebut.

"Boleh kami nak cepat makanan tu?" Kata pasangan tersebut.

"Maaf, boleh tunggu empat minit sebab ia sedang dipanaskan." Jawab penjaga kaunter.

"Lambatnya, kami nak cepat ni. Apalah.." Balas si suami sambil mengangkat tangan.

Si isteri terus berleter, manakal kelihatan penjaga kaunter itu hanya mampu tersenyum melayan karenah dua pasangan itu. Setelah tempoh masa yang dijanjikan tamat, penjaga kaunter tadi segera mengambil makanan mereka dan memberikan kepada mereka. Si isteri terus mengambil dan berkata,

"Lembab." Lalu berlalu pergi bersama suaminya.

Penjaga kaunter dengan tersenyum menjawab,

"Terima kasih, datang lagi."

Saya dan beberapa orang lain yang berada di situ hanya tersenyum dan menggeleng kepala melihat karenah pasangan suami isteri itu dan penjaga kaunter tersebut. Terdapat dua perwatakan yang berbeza di situ.

Tuntasnya, jika kita lihat adakah wajar seseorang meminta dengan nada yang kasar?Sepatutnya pasangan tersebut perlu menghormati tugas penjaga kaunter tersebut dan menghormatinya kerana penjaga kaunter tersebut sedaya upaya cuba untuk memberikan layanan yang terbaik untuk setiap pelanggan yang hadir di situ. Namun apa yang dapat kita lihat, pasangan tersebut seolah-olah tidak menghiraukan perasaan orang lain dan hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Bagaimana sekiranya perlakuan tersebut dilihat oleh pelancong asing atau kanak-kanak yang masih kecil, apakah tanggapan mereka terhadap budaya atau sikap masyarakat Malaysia yang selama ini dikhabarkan sangat berbudi bahasa. Perhati tingkah laku kita, diri kita menggambarkan siapa kita.

Coretan Dua Puluh Satu

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian kali ini saya ingin menceritakan berkaitan 'bahasa fa' yang sering digunakan kami pada suatu masa dahulu. Kenapa perkara ini ditonjolkan kerana semasa membaca nota sosiolinguistik saya teringat akan bahasa rahsia yang hanya difahami oleh golongan tertentu sahaja. Bahasa fa ini boleh dikatakan menjadi bahasa rahsia diantara kami sekiranya kami ingin bercakap dengan rakan tetapi terdapat rakan-rakan lain di sekitar kami. Maka kesimpulannya kami akan menggunakan bahasa ini, kerana bahasa ini hanya difahami oleh rakan-rakan yang berada dalam kelompok kami sahaja. Antara contoh bahasa ini ialah :

"Safa yafa rafa safa ofa rangfa ifa tufa sufa kafa kafa mufa.."

"Mafa nafa afa dafa.."

"Cufa bafa kafa mufa lifa hatfa dafa.."

maksudnya,

"Sa ya ra sa o rang i tu su ka ka mu.."

"Ma na a da.."

"Cu ba ka mu li hat dia.."

Dewasa kini bahasa ini tidak lagi kedengaran, mungkin generasi kini tidak lagi mahu atau pandai menggunakannya dan saya sendiri sudah lama meninggalkannya. Kini lebih terkenal dengan bahasa slanga atau bahasa golongan remaja yang sangat baharu pada pandangan kita dan ada masa kita sendiri tercari-cari makna kata-kata yang digunakan oleh mereka.

Tuntasnya, penggunaan bahasa ini amat unik kerana tidak semua orang mampu untuk mencipta bahasa rahsia mereka sendiri untuk mereka berinteraksi sesama mereka jika adapun mungkin untuk kerjaya profesional seperti tentera atau juruterbang. Kepelbagaian berbahasa ini juga mampu menjadikan sistem bahasa kita bertambah unik namun apa yang penting dalam setiap perkembangan atau pembaharuan bahasa pastikan bahasa ibunda kita terpelihara dan terus ditingkatkan.

Friday 5 April 2013

Coretan Dua Puluh

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini kita akan berbincang berkaitan bahasa Slanga. Bahasa Slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya cepat berubah. Kebiasaannya bahasa ini sering digunakan oleh golongan muda seperti pelajar remaja atau golongan profesional untuk komunikasi dalaman bagi menghindarkan daripada diketahui oleh komuniti bahasa yang lain. Dalam bahasa Slanga ini, kata-kata baru muncul dan kemudian hilang dengan cepat. Kata-kata ini biasanya diambil daripada dialek atau bahasa kaum lain termasuk penjajah dan kemudiannya diberi konotasi atau pengertian tertentu. Sebagai contoh cun, melepak, rempit, buat dek, buat dono, dan pelbagai lagi.

Seperti ada perkaitan, semasa pergi ke karnival hari terbuka kolej tadi saya terserempak dengan beberapa pelajar pertengahan usia yang berbeza jantina dan saya anggarkan dalam lingkungan umur mereka sekitar 14-16 tahun. Pada awalnya saya tidak bermasalah dengan kehadiran mereka kerana menyangkakan mereka hadir bersama ibu bapa mereka. Namun ketika saya sedang melihat rakan saya bermain futsal, saya terlihat seorang pelajar lelaki daripada kelompok mereka menarik tangan pelajar perempuan dan dibawa ke arah kumpulan pelajar lelaki yang kebetulan berada hampir dengan saya. Agak memeranjatkan apabila perkara itu dilakukan di tengah-tengah orang ramai tanpa ada perasaan malu. Selepas itu saya terdengar beberapa perbualan mereka. Antaranya,

"Kejap weh, aku jumpa balak aku jap."

"Korang tunggulah jap, nak date jap pun takleh."

"Poyo tol muke kau pakai topeng tu."

Melihat keadaan itu, saya berpaling kepada rakan saya yang berada di sebelah. Kami berpandangan dan hanya tersenyum melihat karenah anak-anak remaja dipertengahan usia sebegitu rupa ditambah lagi perempuannya bertudung namun rela dipegang, lelakinya pula berbaju tetapi berlubang-lubang. Bermacam-macam perasaan yang ada pada masa itu, pelik, geram, terkejut dan geli hati pun ada. Sampaikan saya sempat menyatakan kepada rakan, 'beratlah tugas cikgu nanti'. Jika kita lihat daripada percakapan mereka juga, seiring dengan perkara yang cuba saya sampaikan iaitu penggunaan bahasa Slanga dan fikiran mula berlegar-legar bukan setakat bahasa menjadi 'slanga' tapi diri dan peribadi juga sengaja 'dislangakan'.

Kesimpulannya, pandangan saya berkaitan perkara yang saya lihat ini sesungguhnya sangat mendukacitakan kerana golongan remaja yang sepatutnya dijaga dan diberikan didikan yang sempurna mula menular ke arah satu perkara negatif sama ada dari segi pergaulan juga bahasanya. Bahasa yang digunakan amatlah rendah sekali dan jika perkara ini berterusan bagaimana di sekolahnya nanti. Seharusnya pantauan diberikan sebaik mungkin oleh ibu baap agar mereka lebih terdidik dan penggunaan bahasa sebegini perlu dipantau oleh guru agar kesantunan berbahasa dan penggunaan bahasa yang betul mampu diterapkan. Bahasa jiwa bangsa, jangan sampai  kita hilang identiti bangsa kita.

Jika perkara ini berterusan, bagaimana generasi mendatang?
                           Ayuh sama-sama kita fikirkan.



Coretan Sembilan Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini berkaitan dengan sesuatu ilmu baharu yang saya ketahui. Semasa di dalam kelas Sosiolinguistik kami berbincang mengenai bahasa Argot. Bahasa Argot merupakan bahasa yang khusus yang bersifat setempat, diketahui oleh golongan setempat atau kumpulan sepekerjaan terutama sekali dalam kalangan masyarakat kelas bawahan. Apa yang menarik perhatian saya berkaitan bahasa Argot ini adalah istilah 'Argot' itu yang seakan-akan asing dan sebenarnya bahasa Argot ini sering digunakan oleh  masyarakat setempat cuma kita tidak mengetahui istilah khusus bagi penggunaan bahasa itu.

Bahasa Argot ini merupakan bahasa masyarakat setempat sebagai contoh masyarakat pekebun kecil dan boleh dikatakan bahawa hanya masyarakat kawasan itu sahaja yang lebih mengetahui bahasa yang digunakan itu. Sebagai contohnya, pekebun getah kebiasaannya memanggil hasil getah yang dikumpulkan sebagai getah sekerap. Mungkin jika kita berasal dari kawasan bandar atau golongan berada agak janggal kita dengan perkataan itu. Setelah wujud perbincangan, maka hasil getah yang pada mulanya dipanggil getah sekerap itu kian berkembang kosa katanya apabila cuba dibincangkan perkataan itu mengikut kawasan atau negeri masing-masing. Contohnya, di kawasan saya di Johor mereka memanggil 'ojol', di kawasan Melaka mereka memanggil 'lantun', dan jika di kawasan Kelantan pula dipanggil 'pok getah'.

Tuntasnya, penggunaan bahasa sebegini secara tidak langsung baik untuk dikaji kerana ia mampu memberi penambahan kosa kata dalam bahasa Melayu itu sendiri dan berkemungkinan besar ia mampu memberi impak positif terutama dalam perkembangan bahasa Melayu untuk era dewasa nanti.

 Mungkin tidak ramai yang sanggup tahan dengan bau getah sekerap ini andai mereka bukan daripada keluarga pekebun.

Wednesday 3 April 2013

Coretan Lapan Belas

Assalam dan salam sejahtera..Semoga yang membaca berada dalam perlindungan ALLAH hendaknya. Perkongsian hari ini berkaitan sikap menghormati. Sikap hormat-menghormati ini penting bukan sahaja di dalam keluarga, saudara, rakan dan guru. Tapi ia juga penting dalam berorganisasi.

Kebetulan semalam saya berpeluang menghadiri satu mesyuarat sebuah organisasi dan melihat gerak kerja yang dilakukan untuk satu program yang bakal berlangsung. Pada mulanya semua berjalan dengan baik, namun di pertengahan perbincangan terdapat sedikit konflik yang timbul. Ketua mula memainkan peranannya dan cuba mengawal permasalahan yang berlaku. Namun apa yang sedikit janggal disitu apabila ada diantara ahli yang mempertikai tindakan ketuanya dan cuba untuk melontarkan idea tanpa menghormati rakannya yang bertindak sebagai ketua pada malam itu. Tambahan lagi, kata-kata yang dikeluarkan saya rasakan agak kurang sopan kerana kita sedang berada dalam perbincangan dan bukan berbual di kedai kopi.

Daripada tingkah laku yang saya lihat itu, saya mula terfikir dan menjangkakan bagaimana sekiranya dia yang berada pada posisi ketua itu. Tuntasnya, untuk dihormati kita perlu menghormati dan kita jangan sesekali meneka atau cuba mempertikai tanggungjawab seseorang andai kita tidak pernah mengetahui apa yang dirasai oleh seseorang yang berada pada suatu tahap. Hal ini demikian kerana, ia hanya mengeruhkan lagi keadaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi sesuatu masalah dan menggmbarkan diri kita yang tidak profesional serta tidak beradab.


Monday 25 March 2013

Coretan Tujuh Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian untuk hari ini berkaitan dengan persoalan yang timbul di fikiran saya dan rakan semasa kami melihat rakan kami berbahas berkaitan 'Sertu' dan 'Samak'. Mungkin pada awalnya kita lihat ini satu perkara yang biasa, namun jika tidak diteliti secara mendalam maka kita sebenarnya telah banyak tersilap. Ramai di antara kita bila bercakap berkaitan dengan najis mughalazah mereka akan kaitkan dengan samak. Contohnya :

"Eh tadi anjing jilat kasut kau, kena samaklah lepas ni."

Itulah antara percakapan yang keluar daripada mulut rata-rata masyarakat kita. Namun tanpa kita sedari sebenarnya fahaman kita telah tersasar. Cuba kita lihat definisi 'Sertu' dan 'Samak' ini.

Samak ialah menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam (peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut dapat menghilangkan dan menanggalkan segala kotoran serta lendir yang terdapat pada kulit binatang sebelum kulit tersebut digunakan untuk membuat kompang contohnya kulit kambing.

Sertu pula ialah menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah iaitu seperti anjing, babi  dan keturunannya. Najis mughalazah hendaklah disucikan dengan membasuhnya dengan 6 basuhan air mutlak dan 1 kali basuhan dengan air yang dicampurkan tanah. Jumlah basuhan adalah 7 kali.

Maka sewajarnya perkataan yang kita gunakan adalah :

"Eh tadi anjing jilat kasut kau, kena sertulah lepas ni."

Hal ini juga sama dengan penggunaan 'Mahram' dan juga 'Muhrim'. Masyarakat banyak menggunakan perkataan ini tanpa mengetahui terlebih dahulu akan konsep dan pengertiannya. Contohnya :

"Kita tak boleh bersentuhan, kita bukan muhrim."

Sepatutnya perkataan yang tepat digunakan adalah :

"Kita tak boleh bersentuhan, kita bukan mahram."

Hal ini kerana, muhrim dalam bahasa Arab (muhrimun) bermaksud orang yang berihram dalam ibadah haji sebelum bertahallul. Manakala mahram (mahramun) ertinya orang-orang yang merupakan lawan jenis kita namun haram (tidak boleh) kita nikahi selamanya namun boleh melihat wajahnya, bersalaman, dan tidak terbatal wuduk jika bersentuhan. Kebiasaannya mahram kita adalah adik-beradik dan keluarga.

Tuntasnya, sebelum menggunakan sesuatu perkataan kita perlu sedia maklum akan konsep dan definisinya agar kita tidak silap dalam berkata-kata dan cuba membenarkan apa yang salah bak kata pepatah cuba menegakkan benang yang basah tanpa kita penuhi ilmu di dalam dada. Semoga perkongsian ini membuka sedikit pemikiran kita dan bertambah ilmu yang sedia ada.

Sunday 24 March 2013

Coretan Enam Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini berkaitan dengan kanak-kanak. Apa yang ingin saya rungkaikan adalah berkaitan satu kejadian yang pada saya agak mengejutkan dan membuatkan saya terkesima apabila perkara itu terjadi. Bayangkan seorang kanak-kanak yang anggaran umurnya lebih kurang 7 hingga 9 tahun mengeluarkan perkataan kesat terhadap rakannya. Pasti kita akan terfikir sesuatu tentang kejadian ini.

Hal ini terjadi ketika saya sedang membeli sedikit barangan dapur di kedai berhampiran dengan rumah saya, ketika itu ada sekumpulan kanak-kanak sedang membeli sedikit makanan ringan. Semasa melalui bersebelahan dengan mereka, timbul sedikit pertengkaran antara mereka kerana ada di antara rakan mereka tidak mahu berkongsi duit untuk membeli makanan ringan yang diperlukan. Antara percakapan yang terkeluar daripada mulut mereka.:

"Bak lah duit kau, makan sama-sama nanti"

"Kedekutlah budak ni, mak kau ajar eh?"

"Bodohlah, macam bab*"

Tuntasnya, perkara ini sebenarnya tidak mungkin berlaku andai didikan yang betul diberikan kepada mereka.  Bayangkan seandainya perkataan ini terkeluar daripada mulut mereka ketika mereka bercakap dengan orang yang lebih dewasa? Kita juga tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana kita tidak maklum sama ada budaya itu ditiru daripada rumah atau daripada rakan-rakan mereka. Sebagai orang yang lebih dewasa, kita seharusnya cuba menitik beratkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak dan mengajar mereka bersopan santun apabila berkata-kata tidak kira dengan siapapun. Perhatikan adik-adik dan anak-anak anda kerana merekalah yang bakal menjadi pelapis di masa mendatang.









Wajah generasi mendatang

Coretan Lima Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Semoga yang membaca berada dalam perlindungan dan dikasihi ALLAH. Perkongsian kali ini saya ingin ceritakan berkaitan pemakanan. Namun bukan tentang menu tetapi tentang makan dalam talam atau dulang. Kita sedia maklum bahawa kini jarang kita makan dalam talam sedangkan itu merupakan salah satu perkara yang baik dan diamalkan oleh masyarakat Islam dahulu. Perkara ini saya alami semasa bersama-sama menjalankan program dengan anak-anak dari Madrasah Tarbiah Islamiah (MTI). Saya berasa cukup seronok bersama mereka dan merasakan satu ikatan yang cukup kuat bila menyaksikan mereka makan dalam talam beramai-ramai.

Sebenarnya pelbagai kebaikan yang akan kita peroleh apabila kita makan dalam talam kerana ia bukan sahaja amalan yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW, tetapi mampu mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta merasai kesusahan orang lain. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum, makan beramai-ramai dalam satu talam pasti ada yang rasa tidak cukup. Tetapi dengan rasa tanggungjawab, sikit sama sikit, banyak sama banyak, pasti itu lebih indah dan menjadikan satu pengalaman yang sukar dilupakan.















Tuntasnya, budaya yang indah ini sewajarnya dikekalkan kerana ia bukan sahaja perkara yang diterapkan dalam Islam namun secara mendalamnya ia mengajar kita erti kesusahan dan kasih sayang sesama insan yang selama ini mungkin tidak pernah kita jangkakan. Budaya ini kian dilupakan dan hanya diamalkan di madrasah-madrasah atau pusat-pusat pengajian pondok. Sama-sama kita renungi apa yang cuba saya sampaikan..

Friday 22 March 2013

Coretan Empat Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Semasa di dalam kelas tadi, pensyarah ada membincangkan berkaitan budaya berterima kasih. Hal ini demikian kerana berbalik kepada rencana yang ditulis beliau dalam satu ruangan akhbar berkaitan penghargaan masyarakat terhadap perwira-perwira negara yang terkorban dalam pencerobohan di Lahad Datu. Beliau melihat fenomena ini berdasarkan ucapan Ketua Polis Negeri Perak yang menyatakan bahawa semasa beliau pergi ke Kobe, masyarakat di sana sanggup meletakkan kalungan bunga di bangunan polis lama bagi menggambarkan betapa mereka berterima kasih dan menghargai pengorbanan anggota keselamatan negara mereka. Hal ini berbeza dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, kerana ungkapan terima kasih itu sukar diluahkan atau mungkin mereka ada cara mereka tersendiri dalam menyampaikan penghargaan mereka.

Budaya berterima kasih ini sebenarnya merupakan satu nilai murni yang seharusnya diterapkan dalam diri pelajar mahupun masyarakat di dalam negara kita kerana sejak dari dahulu masyarakat kita sangat terkenal dengan sifat lemah lembut dan berbudi bahasa. Namun hakikatnya kini, budaya itu kian dilupakan. Mungkin pada sesetengah pendapat, tidak mengapa jika tidak mengucapkan terima kasih asalkan senyum. Namun sedar atau tidak, daripada ucapan mampu menjalinkan sebuah ikatan atau hubungan yang berpanjangan. Itulah yang dinamakan kuasa kata.

Tuntasnya, budaya berterima kasih ini perlu terus diterapkan agar masyarakat kita tidak lupa asal mereka dan sentiasa menghargai orang lain walau siapapun mereka kerana mungkin hari ini kita sihat, suatu hari nanti tiada siapa dapat menjangka apa yang bakal terjadi kepada kita sehingga mungkin kita terpaksa pula mengharapkan pertolongan daripada orang lain.

Pagi hari petik selasih,
Selasih diam di muara lembah,
Indah nilai berterima kasih,
Jadi pendorong jalinan ukhuwah.



Thursday 21 March 2013

Coretan Tiga Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkongsian hari ini saya tumpukan kepada pantun. Pasti semua sedia maklum dengan apa yang dimaksudkan dengan pantun. Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.

Pantun mempunyai nilai bahasanya tersendiri dan sungguh puitis pemilihan diksinya. Walau bagaimanapun pantun kini jarang digunakan kecuali untuk pertandingan ataupun adat dalam meminang dan perkahwinan. Dewasa kini ada pula yang menggunakan pantun sebagai bahan jenaka, namun tidak salah andai betul dan benar penggunaannya. Tetapi lain pula yang jadi, penggunaan bahasa yang sepatutnya indah menjadi caca-marba, menjadi lintang-pukang dan ditambah dengan perkataan-perkataan Inggeris. Kenapa saya berbicara begini, kerana saya telah terlihat beberapa program realiti televisyen yang menggunakan medium pantun ini dan terlihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penggunaan pantun itu kurang elok. 
Contohnya :

Gatal ketiak garu-garu,
Kemana nak pergi tu?

Ikan sepat ikan puyu,
Terima kasih, thank you.

Persoalannya kemana hilangnya nilai dan keindahan yang sewajarnya. Jika perkara ini terus berlaku, nescaya generasi akan datang akan kekurangan penggunaan kosa kata yang indah dan seni berpantun malahan mungkin langsung tidak kenal apa itu pantun.


















Kenangan Pemantun UPSI 2012


Kenangan Pesta Pantun Makum 2012

Wednesday 20 March 2013

Coretan Dua Belas

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit berkaitan forum yang diadakan pada malam semalam yang bertajuk "Hatiku Milik Siapa?" oleh Ustazah Fatimah Syarha Bt Mohd Noordin dan suaminya Dr Farhan Hadi B. Mohd Taib. Saya memang meminati mereka kerana hasil penulisan mereka cukup sempurna bagi saya dalam menyampaikan dakwah Islam melalui penulisan. Maka kesempatan yang ada ini saya ambil walau pada mulanya saya berasa segan untuk pergi ke sana.

Setibanya saya di Auditorium UPSI, saya agak terkejut kerana hanya 2 hingga 3 orang sahaja kaum adam manakala yang lainnya adalah kaum hawa. Namun saya gagahkan diri untuk pergi juga dan mengambil tempat di dalamnya. Setelah menunggu hampir 1 jam, akhirnya forum dimulakan namun keadaan agak sesak kerana semaki ramai yang hadir terutama daripada kaum hawa. Jika dihitung, hanya 4 baris kerusi sahaja yang menempatkan kaum adam manakala selebihnya dimonopoli oleh kaum hawa termasuklah yang duduk bersila di bawah dan di tangga. Sambutan sangat diluar jangkaan, sehinggalah kalimah pertama dikeluarkan daripada mulut penceramah. Lantunan suara, gaya penyampaian, mesej yang disampaikan, dan pelbagai lagi sangat menarik perhatian ramai. Sesungguhnya pelbagai maklumat dan ilmu berkaitan hati diperoleh pada malam itu dan rasa sangat tenang apabila dapat mendengar secara langsung percakapan daripada mereka suami isteri kerana sebelum ini saya hanya membaca apa yang ingin mereka sampaikan melalui penulisan-penulisan mereka sahaja.

Tuntasnya, untuk menjadi seorang yang hebat kita tidak perlu bersusah payah namun kembali kepada fitrah. Pelbagai kenikmatan yang telah diberikan namun kita manusia sering alpa dan leka. Daripada penyampaian penceramah saya sedar bahawa untuk membentuk generasi terbaik, kita perlu mendekatkan diri dan menyelami perasaan mereka sebelum kita cari jalan terbaik untuk berdakwah mahupun berkata-kata agar mereka dapat menerimanya dengan berlapang dada.

Ustazah Fatimah Syarha Bt Mohd Noordin dan suaminya Dr Farhan Hadi B. Mohd Taib.

Coretan Sebelas

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkongsian hari ini berkaitan dengan kemarahan. Sifat marah itu pasti ada dalam diri setiap individu, kalau tak ada sifat itu mungkin seperti tidak normal. Namun persoalannya bagaimana kita mengawal kemarahan yang melanda diri agar ia tidak terus menguasai.

Beberapa hari yang lepas, selesai sahaja bermesyuarat untuk program yang akan datang kelihatan ada diantara beberapa rakan yang wajahnya seakan bermasalah. Namun tiada kata atau tindakan pelik yang dilakukan sehinggalah seorang daripada mereka menegurnya. Tanpa disedari, terhambur kata-kata yang kurang enak didengari dari mulut rakan itu. Kami yang lain agak terkejut, namun hanya mendiamkan diri agar keadaan tidak bertambah buruk. Saya mula berfikir, mungkin dia ada masalah peribadi atau mungkin pertanyaan yang ditujukan itu kurang sesuai masanya untuk ditanyakan.

Keadaan sunyi seketika, sehinggalah kami membuat keputusan untuk pulang. Selepas tiba di rumah, saya mengambil keputusan untuk menghantar pesanan ringkas kepadanya untuk bertanya keadaannya dan cuba merungkai masalah yang dihadapi. Akhirnya dia menjelaskan bahawa dirinya mempunyai beberapa masalah dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Saya cuba memberi pandangan sebaik mungkin dalam membantu menyelesaikan masalahnya. Semoga dia mampu bersabar dan menghadapi masalahnya dengan baik.

Tuntasnya, kemarahan dan ketegasan itu perlu ada dalam diri namun bagaimana kita mengendalikannya jika berlaku sesuatu perkara. Ada masanya kemarahan mengawal diri, maka kita akan kecundang dengan emosi. Sekiranya kemarahan itu mampu kita atasi, maka kemenangan kita perolehi. Kemarahan mampu membuatkan seseorang berada diluar diri mereka, maka berhati-hati dalam mengawalnya.



Monday 18 March 2013

Coretan Kesepuluh

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini, lebih berbentuk peribadi. Hari ini pagi-pagi pergi ke kampus untuk membuat perbincangan kumpulan. Setelah selesai membuat perbincangan, saya duduk di ruang legar untuk menanti rakan sebelum pulang ke rumah. Ketika menanti rakan tiba, datang sekumpulan lelaki dan duduk berhampiran dengan tempat saya menunggu. Pada mulanya saya tidak kisah, kerana sama-sama lelaki. Namun ketika beberapa orang pelajar perempuan melintasi di hadapan kami maka saya terdengar bisikan-bisikan daripada kumpulan lelaki tersebut menyebabkan saya rasa kurang selesa.

Antara bisikan yang saya terdengar adalah mereka mengatakan berkaitan tingkah laku pelajar yang melalui kawasan itu, tidak kurang juga berkaitan dengan tubuh badan mereka. Paling agak kurang menyenangkan apabila mereka bersiul ketika seorang pelajar perempuan melintasi mereka. Terdengar teguran daripada rakannya, 'Eh, berani kau ya?' lalu rakannya yang bersiul menjawab 'Mak aku suruh cari pasangan cepat.' Lalu berderailah lagi ketawa mereka. Saya cuma mampu berdiam dan menggelengkan kepala apabila terdengar perkataan tersebut, kerana kesilapan diri sendiri namun emak yang dipersalahkan.

Agak kurang elok kiranya kita bertingkah laku seperti itu, tambahan lagi apabila melibatkan diri atau maruah seseorang. Sesungguhnya sekiranya benar-benar ingin mencari calon isteri, gunakan kaedah atau cara yang betul dan jangan sesekali mempertikai apa yang ada pada diri setiap individu. Sesungguhnya kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal luaran, malahan hati budinya.




Saturday 16 March 2013

Coretan Kesembilan

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkongsian kali ini menceritakan akan peristiwa yang berlaku pada tengahari semalam. Semasa balik daripada perbincangan di kampus, lampu isyarat berhampiran kawasan kampus mengalami kerosakan. Ketika ingin melintasi kawasan tersebut, bagi memastikan keselamatan terjamin maka saya mengekori sebuah kereta perdana hitam. Tiba-tiba datang sebuah kereta viva dari arah lain dengan tidak semena-mena terus membunyikan hon berkali-kali. Saya jadi terkejut dan ke tepi sedikit, lalu pemandu viva tersebut memotong kereta perdana itu sambil marah-marah dan menunjukkan isyarat tangan. Saya agak terkejut dengan perbuatan itu kerana di dalam kereta viva tersebut terdiri daripada 3 orang perempuan dan persoalannya dimanakah adab perempuan itu sedangkan yang memandu kereta perdana tersebut sepasang suami isteri.

Keadaan itu tidak tamat disitu. Dengan keadaan terkejut, pemandu perdana itu menggelengkan kepala lalu berusaha mengejar kereta tersebut. Ketika berada di sebelah kereta viva tersebut, pemandu perdana tersebut cuba menghimpitkan keretanya pada kereta viva tersebut. Saya melihatnya dengan jelas kerana berada di belakang mereka. Sampai di suatu simpang, kereta perdana tersebut menyekat laluan kereta viva itu dan mulalah pertengkaran di antara mereka. Saya hanya meneruskan perjalanan dan tidak mahu ikut campur bimbang keadaan bertambah buruk.

Kesimpulannya kedua-duanya ego dan bertindak melulu tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku. Contohnya pemandu viva tersebut telah mengetahui bahawa kereta perdana tersebut bakal berada pada laluan yang sama dengannya, maka tak perlu rasanya membunyikan hon dan ditambah mula marah-marah disertakan dengan isyarat tangan. Tambah memalukan seorang perempuan yang bertingkah laku begitu. Pemandu kereta perdana tersebut juga tidak seharusnya cuba mengejar dan menghimpit kereta viva tersebut kerana ia mungkin boleh mengakibatkan kemalangan dan menambahkan lagi masalah tersebut. Konklusinya, budi bahasa melambangkan budaya kita dan berbudi bahasa walau dimana sahaja kita berada. Budi bahasa bukan diukur daripada berbahasa sahaja, namun dari pelbagai aspek lain termasuklah tingkah laku.












Gambar contoh


Friday 15 March 2013

Coretan Kelapan

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkara yang ingin dikongsikan kali ini adalah berkaitan dengan penggunaan dialek yang digunakan oleh guru ketika mengajar di dalam kelas bagi sesi pengajaran dan pembelajaran. Kisah ini diceritakan oleh rakan saya kerana sebelum ini belum pernah lagi semasa di sekolah dahulu cikgu mengajar menggunakan bahasa dialek negeri masing-masing.

Antara perkongsian yang diberikan oleh rakan itu adalah bagaimana cara guru memulakan sesi pengajaran dengan menggunakan dialek negerinya sendiri dan bagaimana dialek negeri tersebut dituturkan sekiranya bertutur bahasa Inggeris. Katanya cikgu tersebut berasal dari sebelah pantai timur, maka dialek kenegeriannya amat ketara. Semasa mula-mula mengajar di kelasnya, boleh dikatakan 90% pelajar tidak memahami akan topik perbincangan itu. Namun ada juga yang hanya tersenyum dengan keadaan itu. Maka guru tersebut terpaksa menerangkan semula topik pengajarannya dengan kaedah lain.

Lain pula ceritanya ketika guru tersebut bertutur bahasa Inggeris. Pada suatu hari rakan saya terdengar guru tersebut berbual bersama rakannya di suatu tempat. Rakan saya berkata, dia hampir tergelak besar mendengar apa yang dituturkan guru tersebut dalam bahasa Inggeris kerana dialeknya masih lagi kekal dan bahasa Inggeris yang dipertuturkan tak seperti yang biasa didengari.

Tuntasnya, pertamanya apa yang diceritakan oleh rakan saya mempunyai kebaikan dan keburukannya. Sebagai seorang guru, kita perlu memastikan dialek kenegerian tidak terbawa-bawa ke dalam sesi pengajaran atau di kawasan sekolah kerana perkara tersebut mungkin sahaja mampu memberi persepsi yang buruk oleh pelajar terhadap guru tersebut. Maka guru perlulah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu agar sesi pengajarannya mampu berjalan dengan lancar. Keduanya, sebagai seorang pelajar kita haruslah menghormati guru yang mengajar kita walau terdapat kekurangan pada dirinya, namun kita perlu sedar siapa mereka dalam hidup kita. Mungkin senyuman kita tidak memberi apa-apa makna, namun sekiranya dilihat oleh guru tersebut maka mungkin ia boleh ditafsirkan dengan beribu makna.




Wednesday 13 March 2013

Coretan Ketujuh

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Perkongsian hari ini lebih kepada penggunaan bahasa. Semasa di dalam kelas Pembangunan Modal Insan, pensyarah ada menyatakan bahawa dahulu kerap pelajarnya menggunakan bahasa 'Gila'. Contohnya berat gila, manis gila, banyak gila, dan pelbagai lagi. Tersenyum sendirilah masa tu sebab teringat bahawa kebiasaannya orang Johor memang suka buat kata penguat sendiri. Berani cakap sebab telah biasa buat.

Masa zaman sekolah dulu memang rajin guna 'gila'. Semua perkara dan benda ada sahaja dikaitkan dengan gila. Contoh yang biasa digunakan manis gila, cantik gila, lapar gila, letih gila, jauh gila dan pelbagai lagi. Masa mula-mula masuk universiti pula, ada lagi kata penguat yang diri sendiri wujudkan iaitu 'bapak'. Penggunaan sama dengan kata penguat atau 'gila' tadi, contohnya bapak manis air ni, bapak kedekut orang tu, bapak jauh, bapak lawa dan pelbagai lagi. Kalau diteliti, kreatif juga mencipta kata penguat yang baharu tapi apakan daya belum diiktiraf lagi.

Maka kalau dilihat secara kasar, rosaklah bahasa dengan pelbagai penambahan kata yang tidak diketahui asal-usulnya namun kalau dilihat dari sudut lain, itulah yang dikatakan variasi bahasa dan bahasa itu dinamik. Mungkin hari ini kita rasa janggal, tapi tidak mustahil suatu hari nanti akan ada yang mengkaji tentang penggunaan kata penguat yang diwujudkan oleh orang Johor.


Monday 11 March 2013

Coretan Keenam

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Salah satu perkara menarik yang dapat saya kongsikan bersama semasa menjalankan Program Khidmat Komuniti dan Anak Angkat di Felda Trolak Selatan adalah saya dapati bahawa golongan muda atau kanak-kanak di kawasan tersebut sangat mudah menerima sesuatu perkara yang baharu. Sebagai contoh, tidak sampai satu hari kami menjejakkan kaki di sana tetapi penerimaan kanak-kanak di sana terhadap kehadiran dan perkongsian ilmu kami amat menggalakkan dan diluar jangkaan bagi pihak kami.

Hal ini demikian kerana, kami melihat daripada beberapa sudut penerimaan daripada mereka semasa kami menjalankan beberapa aktiviti seperti pertandingan mewarna bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), acara sukaneka, program motivasi dan jelajah kampung. Kanak-kanak di kawasan tersebut amat cepat menerima pembaharuan dan bersifat terbuka dengan kami yang cuba menyampaikan apa ilmu yang kami ada.

Daripada pemerhatian, perlakuan dan sifat penerimaan itu telah dibentuk oleh sikap ibu bapa mereka yang mana kami melihat bahawa masyarakat di sana terlalu mesra dan mengalu-alukan kedatangan para pelajar yang ingin berbakti di kawasan mereka ditambah lagi dengan maklumat yang kami terima daripada  penduduk kampung yang mana menyatakan bahawa kawasan mereka sudah seringkali menerima kunjungan daripada banyak pihak bagi menjalan aktiviti khidmat komuniti seperti yang kami jalankan.













Coretan Kelima

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Ilahi kerana akhirnya berjaya menyempurnakan satu program Khidmat Komuniti dan Anak Angkat di Felda Trolak Selatan selama tiga hari dua malam. Sesungguhnya program ini memberi pelbagai kenangan dan pengalaman baharu dalam diri ini kerana pertama kali mempunyai keluarga angkat daripada golongan felda.

Selama tiga hari di sana, pelbagai cara hidup dan aktiviti mula diteroka serta dinikmati bersama. Sesungguhnya budaya yang kian lama dilupakan oleh masyarakat kini seperti gotong-royong dan majlis rewang bagi melaksanakan kenduri perkahwinan masih segar lagi dalam budaya masyarakat felda ini. Saya melihat sendiri mereka bekerjasama ketika melapah dan memotong daging lembu serta bersama-sama membanting tulang bagi memastikan perjalanan majlis perkahwinan di tempat mereka berjalan dengan lancar.

Tuntasnya, sepatutnya golongan muda kini perlu mengambil contoh teladan yang baik yang telah ditunjukkan oleh masyarakat felda ini kerana budaya masyarakat kita sepatutnya begitu dan harus dikekalkan. Kemodenan bukan penghalang atau benteng dalam kita mengekalkan budaya masyarakat kita yang indah tersusun sejak dahulu lagi.



Thursday 7 March 2013

Coretan Keempat

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkongsian hari ini lebih tertumpu kepada 'PERUBAHAN'. Namun apa yang berubah? Hal ini berkaitan dengan Sosiologi Bahasa Dinamik yang bermaksud apakah yang menyebabkan perubahan pada kadar yang berlainan dalam organisasi sosial tentang penggunaan bahasa mahupun tingkah laku terhadap bahasa. Tambahan lagi, mengapa dan bagaimana penggunaan bahasa dan tingkah laku dalam organisasi sosial menjadi berlainan dalam rangkaian sosial atau masyarakat yang sama dalam dua keadaan yang berbeza.

Hal ini dapat kita lihat dengan wujudnya perubahan yang amat ketara bagi diri kita dan adik-adik kita. Sebagai contohnya, sewaktu kita kecil kita sering didedahkan dengan pelbagai permainan seperti guli, pondok-pondok, teng-teng, batu seremban, kurik kundi, dan pelbagai lagi. Begitu juga semasa zaman atau masa kecil bagi ibu dan ayah kita. Namun jika kita lihat kini, kanak-kanak kini lebih ke hadapan. Mereka tidak lagi didedahkan dengan permainan seperti itu lagi, namun didedahkan dengan kecanggihan teknologi seperti komputer, PSP, Tab dan pelbagai permainan terbaru lagi. Daripada perubahan ini, sedarkah kita mengapa dan bagaimana ia begitu pesat dan cepat menular sedangkan jika diimbau dahulu zaman ibu ayah dan kita, ia mengambil masa yang agak lama. Namun perubahan corak sosiobudaya masyarakat kian rancak seolah-olah wujud perlumbaan diantara satu sama lain. Persoalannya, masihkah ada lagi permainan tradisional ini di masa akan datang? Dan kenalkah mereka?

Tuntasnya, sebagai bakal pendidik maka tanggungjawab yang bakal dipikul kian mencabar bagi menerapkan nilai atau ilmu sepatutnya dalam diri setiap pelajar dan bagaimana agar budaya kita mampu dikekalkan...















Coretan Ketiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Perkongsian untuk hari ini adalah sedikit kenangan atau peristiwa yang pernah berlaku suatu masa dahulu sewaktu sekolah rendah. Bagaimana diri ini boleh teringat akan kisah lalu? Ianya kerana pengajaran yang diberikan dalam kelas Sosiolinguistik yang berkaitan dengan 'Idiolek'. Idiolek merupakan variasi bahasa seseorang individu.

Menurut Kridalaksana, idiolek adalah keseluruhan ciri kebahasaan pada diri seseorang. Ciri kebahasaan tersebut mencakup aspek linguistik dan paralinguistik. Ciri tersebut membentuk suatu identiti yang melekat pada diri penuturnya. Jika dilihat secara keseluruhan, bolehlah saya gambarkan bahawa sifat seperti pelat, sengau atau penambahan perkataan dalam percakapan mampu memberi identiti kepada seseorang individu.

Maka nak dijadikan cerita, sewaktu kecil saya tergolong dalam kumpulan yang pelat 'R'. Masalah ini dilalui sehingga darjah 4, dan peristiwa silam itu terjadi ketika darjah 2 apabila saya telah dipanggil ke hadapan oleh guru untuk membaca apa yang tertulis di papan hijau. Antara ayatnya ialah 'Saya selalu membeli buah oren'. Ketika menyebut perkataan 'oren', saya tidak mendapat menyebutnya dengan betul menyebabkan semua rakan mula menggelakkan saya termasuk guru tersebut. Setelah saya memberitahu yang saya tidak boleh menyebut huruf 'R' dengan baik, guru tersebut menyuruh saya menyebut pula perkataan 'Harimau' dan apabila gagal menyebutkannya guru tersebut menggelakkan saya. Peristiwa itu akan saya ingat sampai bila-bila kerana saya berasa cukup malu dengan tindakan itu dan bertekad untuk cuba menyebutnya. Alhamdulillah, sekarang saya mampu bertutur dengan baik dan apabila menjejakkan kaki ke Universiti rupa-rupanya ada lagi rakan lain yang mempunyai masalah seperti saya dahulu.

Pada pandangan saya, sebagai seorang yang bergelar pendidik maka tidak sepatutnya kita mentertawakan kelemahan atau kekurangan pelajar kita kerana ia bukan membantu tetapi menimbulkan rasa rendah diri dalam diri pelajar. Seharusnya guru perlu mengetahui terlebih dahulu latar belakang masyarakat atau sosiobudaya pelajarnya sebelum mencari langkah terbaik bagi membantu pelajar tersebut.



Tuesday 5 March 2013

Coretan Kedua

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini perkongsian untuk semua lebih bersifat umum. Kita selalu dengar orang  kata, banyak cakap banyak silap, maka lebih baik kita banyak diam. Sebenarnya tidak salah untuk berkata-kata, tetapi biarlah yang bermanfaat dan bukan menyakiti atau menyinggung perasaan orang lain. Sudahlah menyinggung perasaan, ditambah lagi hilaian ketawa. Rasa tebal juga muka, maklumlah 'awak' perempuan maka tolong jaga sikit tingkah perlakuan.

Seeloknya, gunalah bahasa yang sesuai semasa bercakap dengan rakan. Banyak kaedah boleh digunakan, kalau agak-agak banyak benda perlu dibincangkan carilah satu tempat yang lebih selesa bukan di tengah-tengah kesesakan manusia. Walau bagaimanapun, semua ini hanya teguran membina bagi memperbaiki diri tidak kira siapa termasuk diri ini juga.

"Biar pendiam tapi berisi, daripada bising menyusahkan orang ;
Biar banyak ingatkan mati, daripada hidup bagaikan arang..."


Monday 4 March 2013

Coretan Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Ku mulakan kalam dan coretan pertama ini dengan satu perkongsian yang telah ku alami selama tiga hari dua malam bersama-sama rakan dalam sebuah kem kepimpinan pengawas. Alhamdulillah pelbagai pengalaman baharu dan menarik telah sama-sama ditimba serta ditempuhi sepanjang tempoh masa kem berjalan. Namun terdapat sedikit permasalahan yang dirasakan perlu untuk kita cari jalan penyelesaian. Sedih bila melihat seorang yang bergelar pendidik, yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun namun sikap dan tindakan yang dibuat seolah-olah menggambarkan pengalamannya hanya setahun jagung. Pertamanya mohon maaf atas perkongsian ini, bukan niat membuka aib sesiapa namun sekadar renungan bersama. Patutkah seorang itu menggunakan perkataan yang agak kurang sopan terhadap pelajarnya dan mengenakan hukuman yang berat atas kesalahan yang bukan disengajakan? Tambahan lagi pelajar itu seorang pengawas, bukan pelajar bermasalah dengan alasan untuk mendidik pelajar. Sekiranya ingin mendidik, bukan begitu caranya. Maka tidak hairanlah apabila pendidik itu mengungkit bahawa pengawas di sekolahnya seringkali bermasalah, puncanya pada saya ia hasil daripada didikan yang salah.
Pada pandangan saya, seorang pendidik seharusnya lebih memahami bagaimana caranya untuk mengendalikan pelbagai masalah yang timbul, bukan diselesaikan semuanya hanya dengan perkataan dan hukuman. Seharusnya kita perlu lebih prihatin terhadap pelajar di samping mendekatkan diri bagi memperoleh maklumat terbaik bagi menyelesaikan sesuatu isu. Hal mendidik ini bertepatan dengan saranan Rasulullah yang dinyatakan mempunyai empat tahap utama iaitu pertama dengan kasih sayang, kedua dengan ketegasan, ketiga dengan cara berkawan dan keempat dengan memberi kebebasan tanpa keluar batasan. Dalam pada itu, penggunaan bahasa yang sesuai membantu membentuk psikologi pelajar agar mereka berasa selesa dan selamat apabila bersama-sama kita.
Rakan-rakan seperjuangan dalam Kem Kepimpinan Pengawas 2013 SMK Dato Bendahara CM Yusuff

Antara saranan terbaik dalam mendidik anak begitu jugalah mendidik pelajar jika kita kupas secara mendalam.
Semoga perkongsian ini memberi satu gambaran baharu dalam dunia realiti kita sendiri.