Perkongsian hari ini saya tumpukan kepada pantun. Pasti semua sedia maklum dengan apa yang dimaksudkan dengan pantun. Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.
Pantun mempunyai nilai bahasanya tersendiri dan sungguh puitis pemilihan diksinya. Walau bagaimanapun pantun kini jarang digunakan kecuali untuk pertandingan ataupun adat dalam meminang dan perkahwinan. Dewasa kini ada pula yang menggunakan pantun sebagai bahan jenaka, namun tidak salah andai betul dan benar penggunaannya. Tetapi lain pula yang jadi, penggunaan bahasa yang sepatutnya indah menjadi caca-marba, menjadi lintang-pukang dan ditambah dengan perkataan-perkataan Inggeris. Kenapa saya berbicara begini, kerana saya telah terlihat beberapa program realiti televisyen yang menggunakan medium pantun ini dan terlihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penggunaan pantun itu kurang elok.
Contohnya :
Gatal ketiak garu-garu,
Kemana nak pergi tu?
Ikan sepat ikan puyu,
Terima kasih, thank you.
Persoalannya kemana hilangnya nilai dan keindahan yang sewajarnya. Jika perkara ini terus berlaku, nescaya generasi akan datang akan kekurangan penggunaan kosa kata yang indah dan seni berpantun malahan mungkin langsung tidak kenal apa itu pantun.
Kenangan Pemantun UPSI 2012
Kenangan Pesta Pantun Makum 2012


No comments:
Post a Comment